Font Size Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Language:   English  | Malay
Highway leads to land disputes
Posted on : 27 Apr 2017  Source of News: UNIT PERHUBUNGAN AWAM JABATAN TANAH DAN SURVEI, SARAWAK
 

Merujuk kepada laporan akhbar yang telah disiarkan seperti di atas:

i. Aduan Encik Sylvester Igak Anak Kana

2. Bagi isu yang melibatkan En. Sylvester Igak Anak Kana, beliau merupakan penuntut tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah bagi Projek Cadangan Lorong Memotong Lebuhraya Pan Borneo Negeri Sarawak : Laluan 1-53, Sungai Buloh - Batang Balingian (KM 597.6-KM 599.6). Tanah yang dimaksudkan berstatus Tanah Hak Adat Bumiputera terletak di kawasan Sungai Buloh, Ulu Balingian, Sibu berkeluasan lebih kurang 144.7 meter persegi.

3. Semasa kerja ukur di lapangan yang dijalankan pada 15 September 2015 dan 23 Oktober 2015, 40 Field Lot tanah telah disiasat dan 39 Field Lot tersebut telah dituntut dalam tempoh 60 hari yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Pembayaran pampasan bagi kesemua 39 Field Lot telah diselesaikan. Sementara itu, satu lagi baki Field Lot yang dikenali sebagai Field Lot 12 tidak dituntut dalam tempoh 60 hari tersebut.

4. En. Sylvester ak Igak hanya membuat tuntutan terhadap Field Lot 12 melalui surat beliau bertarikh 26 Januari 2017. Susulan daripada aduan tersebut, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sibu telah menjalankan siasatan di lapangan pada 28 Februari 2017 namun En. Sylvester telah gagal dihubungi. JTS telah melakukan siasatan buat kali kedua pada 15 April 2017 namun sekali lagi En. Sylvester tidak berada di lapangan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. Siasatan di lapangan bersama En. Sylvester hanya dapat dilaksanakan 21 April 2017 namun beliau enggan menandatangani dan mengesahkan butir-butir yang direkod semasa siasatan tersebut dibuat.

5. Susulan aduan yang dibuat oleh En. Sylvester dalam surat khabar The Borneo Post bertarikh 27 April 2017, pemeriksaan di lapangan telah sekali lagi dilaksanakan namun En. Sylvester telah mengemukakan tuntutan di tiga kawasan yang lain yang dikenali sebagai Field Lot 17,18 dan 19 yang terletak bertentangan dengan Field Lot 12. Walau bagaimanapun, Field Lot 17,18 dan 19 ini telah diselesaikan pampasannya dan dibayar kepada Tuan Anak Chaggak pada 14 April 2016.
Pembayaran pampasan kepada Tuan Anak Chaggak ini dibuat berdasarkan peraturan-peraturan dalam Kanun Tanah Negeri.

ii. Aduan Paran Anak Jambai

6. Bagi aduan kedua pula, ianya melibatkan En. Paran Anak Jambai, pemilik berdaftar bagi Lot 518 Blok 10 Tulai Land District di mana sebahagian daripada tanah tersebut dengan keluasan 451.1 meter persegi (termasuk struktur pagar dan stor) terlibat dengan pengambilan balik tanah Projek Cadangan dan Naik Taraf Lebuhraya Pan Borneo Negeri Sarawak (Bintangor Junction to Julau Junction).

7. Semasa sesi inkuiri pengambilan balik tanah pada 8 Disember 2015 yang dihadiri oleh En. Paran sendiri, beliau telah memohon agar struktur pagar dan stor dikecualikan daripada pengambilan balik tanah. Sekiranya tidak dapat dielakkan, beliau memohon agar rumah kediamannya turut diambilbalik. Persetujuan dengan pihak JKR telah dicapai untuk memenuhi pemohonan En. Paran iaitu agar pengambilan balik tanah merangkumi struktur pagar, stor dan rumah kediaman.

8. Walau bagaimanapun semasa kerja pengukuran semula dijalankan di lapangan, beliau telah menghalang kerja-kerja pengukuran tersebut. Oleh yang demikian, pihak JTS dan JKR telah memutuskan untuk menghadkan pengambilan bailik tanah kepada pelan asal iaitu yang melibatkan sebahagian tanah, stor dan pagar sahaja.

9. Keputusan inkuiri pengambilan balik tanah telah disampaikan kepada En. Paran melalui Award No.222/2016 bertarikh 07 Jun 2016 namun En. Paran enggan menerima pampasan yang ditawarkan. JTS tidak mempunyai pilihan dan telah mengeluarkan Notis Pengosongan (NTQ) pada 21 November 2016 bagi meroboh struktur pagar dan stor yang terlibat. Struktur pagar dan stor tersebut telah diroboh melalui operasi penguatkuasaan pada 25 April 2017.

10. Oleh yang demikian, dakwaan yang mengatakan tindakan merobohkan struktur stor dan pagar tanpa mempertimbangkan rayuan beliau adalah tidak benar.